UTM BERI SOKONGAN KEPADA PESUTM – JALEL

“UTM akan terus beri sokongan kepada Persatuan Pesara UTM(PESUTM). Pelbagai kemudahan telah pun diberikan khususnya untuk menjaga kebajikan para pesara. Yang terbaru ialah memberi rawatan perubatan percuma kepada pasangan pesara(isteri/suami) apabila mendapat rawatan di Pusat Kesihatan UTM”.

Demikian di tegaskan oleh Encik Abd. Jalel bin Ahmad, Timbalan Pendaftar, Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Organisasi(BPO), Pejabat Pendaftar ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Raya PESUTM tahun 1436H pada hari Sabtu 8 Ogos 2015 bertempat di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor(KTC), UTM.

Beliau adalah mewakili Naib Canselor UTM, Yang Berbahagia Profesor Datuk Wahid bin Omar.

Seramai lebih kurang 80 orang tetamu hadir di majlis ini yang terdiri daripada ahli persatuan, para jemputan dan isteri/suami ahli.

Tambahnya lagi “pihak UTM juga sedang menimbangkan untuk memberi kemudahan yang sama kepada balu/duda pesara dan balu/duda penjawat tetap yang meninggal dunia”.

 

SAMBUTAN RAYA DI KL PADA 15 OGOS 2015

Persatuan turut mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya di kampus UTM Kuala Lumpur. Sambutan diadakan pada hari Sabtu 15 Ogos 2015 bertempat di Bilik Ilmuan 4 Razak School.

Seramai lebih kurang 70 orang tetamu hadir di majlis ini yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan, para jemputan serta isteri/suami ahli.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Prof. Dr.Shamsul bin Sahibuddin yang mewakili Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur, Prof.Dr. Durrishah bt Idrus.

 

PELEKAT(STICKERS) KENDERAAN UTM 2015/2016 UNTUK AHLI PERSATUAN

Pelekat kenderaan di atas boleh di beli di Pejabat Keselamatan UTM dengan harga RM2.00 setiap satu. Ahli dihadkan kepada tiga pelekat iaitu dua(2) untuk kereta dan satu(1) untuk motorsikal.

PESUTM TERUS LAKSANAKAN PELBAGAI AKTIVITI – DATO’ MD.NOOR

Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato’ Wira Ir.Dr. Md.Noor bin Salleh, Yang Dipertua PESUTM dalam ucapannya di Majlis Sambutan Hari Raya PESUTM tahun 1436H menyatakan pihaknya akan terus melaksanakan pelbagai aktiviti bagi disertai oleh ahli-ahli persatuan.

Di antara aktiviti yang dilaksanakan ialah majlis bacaan yassin dan tahlil bertempat di surau atau masjid yang di pilih di sekitar kampus UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Setakat ini masjid dan surau yang dilaksanakan ialah di Surau Al-Ridhuan, Taman Dawani, Senai dan Masjid UTM kampus UTM Kuala Lumpur.

Oleh itu beliau menyeru agar lebih ramai lagi pesara dan bekas staf UTM menyertai PESUTM. Setakat ini bilangan ahli ialah seramai 300 orang.

Dalam ucapannya juga beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti yang banyak memberi kemudahan untuk persatuan bergerak misalnya Pejabat Persatuan di bilik 105-3 Blok R02, Kemudahan Pos, Komputer di samping   kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan dengan kebajikan para pesara seperti rawatan percuma perubatan di Pusat Kesihatan UTM.

 

DUA AHLI KEMBALI KERAHMATULLAH

Dua orang ahli Persatuan telah kembali kerahmatullah. Mereka ialah Haji Ismail bin Ab.Aziz di Ampang, Selangor pada 20 Ogos 2015 dan Haji Ab. Rahim bin Ab.Rahman di Kangkar Pulai, Johor pada 7 September 2015.

Haji Ismail bin Ab.Aziz ialah mantan Ketua Pengawal Keselamatan UTM Kuala Lumpur dan Haji Ab.Rahim bin Ab.Rahman ialah mantan Pensyarah Fakulti Sains UTM.

Persatuan mengucapkan takziah kepada keluarga masing-masing dan berdoa agar rohnya di cucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama mereka yang beriman. Al Fatihah.

 

BORANG PERMOHONAN MENJADI AHLI PESUTM

Borang di atas boleh diperolehi di Pigeon Hole PESUTM di Pejabat ALUMNI UTM dan di Peti Surat Pejabat PESUTM Bilik 105 Blok R02.

 

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA YAYASAN PESARA KERAJAAN MALAYSIA(YPKM)

Persatuan Pesara UTM(PESUTM) telah menerima jemputan ke majlis berbuka puasa bersama YPKM pada petang 7 Julai 2015 bertempat di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Pengerusi Yayasan, Y.Bhg.Tan Sri Aseh bin Che Mat turut hadir.

PESUTM diwakili oleh Yang Dipertua Y.Bhg. Prof.Emeritus Dato’ Wira Ir.Dr.Md.Noor bin Salleh dan ahli-ahli persatuan iaitu Y.Bhg. Dato’ Abdullah bin Md.Ali, Y.Bhg.Dato’Dr.Mansor bin Abdullah, Prof.Dr.Karsono bin Ahmad Dasuki, Hjh.Musrinah bt Omar, En.Mohammad Jubri bin Mohd. Kusin, Haji Mad Zahir bin Bahari dan Pn.Be Asmah bt Hashim serta bekas staf UTM iaitu Prof.Emeritus Dr.Azman bin Awang dan Dr.Ghazali bin Arshad.

 

KEMUDAHAN PERUBATAN UNTUK BALU/DUDA

Pihak UTM bersetuju memanjangkan kemudahan rawatan perubatan percuma di Pusat Kesihatan UTM untuk balu/duda kepada para pesara dan staf yang meninggal dunia dalam perkhidmatan.

Bagi balu/duda penjawat tetap pemanjangan rawatan ini adalah tertakluk kepada syarat bahawa staf adalah berjawatan tetap dan telah disahkan dalam jawatan, balu/ duda belum berkahwin semula dan rawatan adalah tertakluk di bawah Skim Perubatan Staf UTM.

Peraturan di atas adalah berkuatkuasa mulai 12 Ogos 2015.

 

PROGRAM BIRO KHIDMAT PROFESIONAL

Biro Khidmat Profesioal yang diketuai oleh Dr. Ismail bin Kailani merancang untuk mengadakan beberapa program pembangunan modal insan sebelum akhir tahun ini.

Perbincangan telah pun di buat dengan pihak Universiti terutamanya dengan Bahagian Pembangunan Modal Insan, Pejabat Pendaftar dan Bahagian Pembangunan Staf Akademik.

Di antara program yang akan dilaksanakan ialah program Kepimpinan, program-program perkongsian ilmu dan sebagainya.

 

ALAMAT EMEL PESUTM

Alamat Emel PESUTM “pesara.utm.my”.

PESUTM TURUT SERTA SAMBUTAN HARI RAYA UTM

PESUTM melalui Biro Kebajikan dan Sosial turut mengambil bahagian dalam Majlis Sambutan Hari Raya 1436H peringkat UTM yang diadakan pada hari Khamis 6 Ogos 2015 bertempat di Padang Kawad UTM, Johor Bahru.

Satu gerai khas diperuntukkan kepada PESUTM. PESUTM menyumbang kueh untuk ditempatkan di gerai berkenaan. Di gerai tersebut juga ditempat- kan borang-borang permohonan untuk menjadi ahli persatuan yang dikhaskan untuk bakal-bakal pesara.

 

DAILOG DENGAN PIHAK BERKUASA PENGANGKUTAN JOHOR

Pihak PESUTM di bawah Biro Kebajikan dan Sosial telah mengadakan sesi dialog bersama beberapa jabatan yang bertanggungjawab terhadap pengangkutan seperti Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia Sdn.Bhd., Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat(SPAD) dan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT). Dialog diadakan pada 3 September 2015.

Dailog yang diadakan adalah untuk memboleh -kan persatuan menengahkan beberapa perkara diantaranya isu penutupan perhentian bas ekspress di Taman Sri Putri Skudai, penjualan kadar tambang bas kepada warga emas yang tidak konsisten, lokasi jangka panjang untuk terminal di kawasan Skudai dan sebagainya.

PESUTM diwakili oleh Haji Morsin bin Peraman (Pengerusi Biro Kebajikan & Sosial), Dr. Ismail bin Kailani, Haji Ahmad bin Said, Haji Mohamad Afifi bin Abdul Mukti, Haji Mudzakir bin Mohd. Azib, Haji Ruseli bin Md. Noh, En.Mohd. Izham bin Ibrahim dan Haji Kasiran bin Saman.

 

PROGRAM BIRO EKONOMI

         Biro Ekonomi yang diketuai oleh Haji Ruseli bin Md. Noh sedang mengadakan perbincangan dengan pihak Universiti bagi melaksanakan dua projek yang boleh menjana pendapatan kepada persatuan.

Projek pertama ialah untuk mendapatkan tanah UTM dan memajakannya kepada pihak lain untuk ditanam pisang. Projek kedua ialah untuk mendapat peluang melaksanakan projek percetakan dan penjilidan bahan.