UTM AKAN TERUS BANTU PERSATUAN

     “ Universiti  Insya Allah sedaya upaya akan terus  membantu Persatuan Pesara UTM atau PESUTM di mana yang boleh asalkan ianya tidak bertentangan dengan peraturan  dan juga tidak bercanggah dengan undang-undang kerajaan”.

Demikian ditegaskan oleh Prof. Ir.Dr.Mohd. Azraai bin Kassim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi)  yang mewakili Naib Canselor UTM di Majlis Jamuan Hari Raya PESUTM yang diadakan pada pagi Jumaat 15 Ogos 2014 bertempat di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor UTM, Skudai, Johor.

Kira-kira 40 orang ahli dan bukan ahli bersama  isteri/ suami hadir di majlis ini. Turut hadir ialah isteri beliau Puan Rahimah,  Y.Bhg.Prof.Emeritus Dato’ Wira Ir.Dr. Md.Noor bin Haji Salleh, Yang Dipertua Persatuan dan Y.Bhg.Datin.

Menurut Prof.Dr.Azraai “Semenjak  Persatuan Pesara UTM ditubuhkan empat tahun yang lalu pihak Universiti telah pun meluluskan banyak permohonan yang dibuat oleh pihak  Persatuan.  Diantaranya ialah Kad Pesara UTM,  Pelekat Kenderaan khas untuk pesara, rawatan perubatan percuma untuk para pesara di Pusat Kesihatan Universiti termasuk pesara KWSP, ruang pejabat  dan lain-lain. Yang terbaru ialah rawatan perubatan percuma untuk isteri dan suami pesara”.

 

HARGAI SUMBANGAN PESARA

      Yang Dipertua PESUTM, Y.Bhg. Prof. Emeritus Dato’ Wira Ir. Dr. Md. Noor bin Haji Salleh menyarankan agar UTM terus menghargai jasa  yang pernah disumbangkan oleh para pesara dan  oleh mereka-mereka yang pernah berkhidmat dengan UTM/ITK/MT.

Demikian saranan Y.Bhg.Dato’ semasa berucap di Majlis Sambutan Hari Raya Persatuan.

Menurutnya  terlalu banyak sumbangan dan jasa yang pernah dicurahkan oleh mereka setelah   berkhidmat sekian lama dengan UTM/ITK/ MT. Mereka pernah bertungkus lumus untuk sama-sama memajukan dan membangunkan UTM sehingga UTM berada ditahap yang ada sekarang ini.

ISTERI/SUAMI PESARA DAPAT KEMUDAHAN RAWATAN PERUBATAN PERCUMA

    Pihak Universiti  bersetuju untuk  memberikan kemudahan rawatan perubatan percuma kepada isteri atau suami pesara di Pusat Kesihatan Universiti(PKU).  Demikian disahkan oleh Haji Abd. Jalel bin Ahmad, Timbalan Pendaftar(BPPO), Pejabat Pendaftar kepada Setiausaha  PESUTM pada 25 Sep. 2014.

Keputusan ini adalah hasil perbincangan yang diadakan di antara pihak Persatuan dengan Y.Bhg. Prof. Datuk Ir.Dr.Wahid bin Omar, Naib Canselor UTM pada 22 Jun 2014.

Untuk makluman rawatan yang ditanggung ialah rawatan pesakit luar dan kecemasan yang hanya diberikan dalam kawasan kampus universiti sahaja.

Pemeriksaan perubatan(medical check-up) dan rawatan pergigian adalah tidak dibenarkan tetapi kemudahan makmal dan X-Ray dibenarkan jika dikehendaki atau dinasihatkan oleh Pegawai Perubatan UTM.  Maklumat lanjut boleh di baca melalui Buku Panduan Kemudahan Perubatan Staf yang dikeluarkan oleh Bahagian Pengurusan dan Pembangunan Organisasi(BPPO),  Pejabat Pendaftar UTM.

Dengan keputusan ini diharapkan para pesara dapat menarik nafas lega kerana setidak-tidaknya ianya dapat membantu sedikit sebanyak para isteri atau suami pesara yang memerlukan rawatan perubatan di Pusat Kesihatan UTM.

PESUTM mengucapkan terima kasih kepada pihak Universiti.

 

PESUTM MOHON KAD PESARA UTM DIMASUKKAN NAMA ISTERI/SUAMI

          PESUTM memohon supaya Kad Pesara UTM dimasukkan nama isteri/suami.  Ini akan memudahkan para pesara bagi mendapatkan rawatan perubatan di Pusat Kesihatan Universiti(PKU).

Permohonan ini adalah selaras dengan keputusan yang membenarkan isteri/suami pesara memperolehi rawatan perubatan secara percuma di Pusat Kesihatan berkenaan.

1

SAMBUTAN HARI RAYA PESUTM DI KL

         PESUTM Kuala Lumpur turut mengadakan majlis sambutan Hari Raya bagi pesara dan bekas staf yang pernah berkhidmat dengan UTM/ITK/ MT.  Sambutan diadakan pada 17 Ogos 2014 mulai jam 2.00 petang bertempat di Dewan Banquet UTM. Seramai lebih 80 orang telah menghadiri majlis ini.

Turut hadir bagi sama-sama menyerikan majlis ini ialah wakil Universiti iaitu Profesor  Dr. Hamdani bin Saidi, Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur.  Dalam ucapannya beliau  memberikan sedikit sebanyak mengenai perkembangan dan pembangunan yang berlaku di UTM terutamanya perubahan-perubahan yang telah dan akan dibuat di kampus UTM Kuala Lumpur.

Yang Berbahagia Prof.Emeritus Dato’ Wira Ir. Dr.Md.Noor bin Haji Salleh, Yang Dipertua PESUTM yang turut berucap bagi mengalu-alukan kehadiran  menyatakan rasa terharunya dan terima kasih kerana bilangan ahli, pesara dan bekas staf yang hadir agak mengalakkan terutamanya kepada mereka yang belum menganggotai PESUTM. Beliau berharap selepas ini mereka akan mengisi borang untuk menjadi ahli PESUTM.

 

UTM BELUM BERSEDIA LULUSKAN PENUBUHAN UNIT PESARA

        UTM belum bersedia untuk meluluskan penubuhan Unit Pesara. Unit ini seperti yang di cadangkan oleh Persatuan diantaranya ialah untuk mengurus dan mentadbir para pesara dan bekas staf yang bilangannya semakin ramai,  khususnya dari segi maklumat dan kebajikan mereka.

Ini kerana amalan sekarang apabila seseorang staf bersara atau berhenti seolah-olah terputus hubungan dengan UTM. Cadangan Unit Pesara adalah seperti peranan Unit Alumni yang menjaga bekas pelajar UTM/ITK/MT.

 

RUANG PEJABAT PERSATUAN

          Pihak Universiti bersetuju menempatkan  ruang Persatuan di Bilik 105-3. Ruang tersebut terletak di Pejabat Pengajian Prasiswazah.

 SUMBANGAN UNTUK MAJLIS SAMBUTAN HARI RAYA

         PESUTM  mendapat sumbangan daripada ahli dan para jemputan yang hadir di majlis  Sambutan Hari Raya yang diadakan di UTM Johor Bahru dan UTM Kuala Lumpur.

Di Johor Bahru Persatuan mendapat sumbangan lebih RM1100.00 dan di Kuala Lumpur mendapat sumbangan lebih RM680.00. Di Kuala Lumpur penyumbang terbesar  ialah Yang Berbahagia Datuk Abdullah bin Md. Ali, mantan ADUN Bukit Naning, Muar, Johor  yang telah menyumbang RM500.00.

Terima kasih kepada para penyumbang sekalian dan diharapkan sumbangan yang diberikan itu sedikit sebanyak dapat menampung kos sambutan terutamanya kos untuk jamuan.

 

LAWATAN DALAM DAN KELUAR NEGARA

        PESUTM akan menganjurkan program lawatan dalam dan keluar negara.  Ahli atau keluarga ahli yang berminat sila hubungi Hajjah Kasuma  di talian 0197131743.

 

KEAHLIAN DALAM JAWATANKUASA TIDAK DIPERSETUJUI

       Permohonan supaya UTM melantik para pesara yang mempunyai kelayakan, kepakaran atau kemahiran dalam sesuatu bidang dalam Jawatankuasa atau Panel juga tidak dipersetujui.

Amalan ini sebenarnya telah diamalkan di peringkat kerajaan yang mana pesara-pesara telah dilantik sebagai Pengerusi atau Ahli dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pelajaran, Polis, Pilihanraya dan sebagainya.

Alasan pihak UTM ialah UTM mempunyai kepakaran sendiri dan pelantikan para pesara akan melibatkan kos.

 

MESYUARAT AGUNG KEEMPAT

       Mesyuarat Agung PESUTM Keempat  dijangka akan diadakan pada Februari 2015. Tarikh sebenar  akan ditetapkan kemudian.

2