NAIB CANSELOR UTM RASMIKAN MESYUARAT AGUNG KETIGA Naib Canselor UTM Yang Berbahagia Prof. Ir.Dr. Wahid bin Omar telah merasmikan Mesyuarat Agung Ketiga Persatuan Pesara UTM (PESUTM) yang berlangsung pada hari Sabtu 8 Februari 2014 jam 9.15 pagi bertempat di Dewan Astana, Kolej Tuanku Canselor(KTC). Seramai lebih 60 orang ahli telah hadir di mesyuarat ini. Dalam ucapannya Naib Canselor mengucapkan terima kasih di atas keperihatinan para pesara dan bekas staf kerana masih mengingati UTM dan banyak berfikir mengenai UTM sekali pun telah meninggalkan perkhidmatan sekian lama. Beliau juga berharap Persatuan terus mengada -kan perbincangan dengan Universiti untuk tujuan bertukar-tukar pandangan agar UTM terus maju kedepan tanpa melupakan asas-asas yang telah ditetapkan oleh pemimpin-pemimpinnya yang terdahulu.
PESUTM MERAYU DIWUJUDKAN UNIT PESARA Yang Dipertua PESUTM Y.Bhg.Prof.Emeritus Dato’ Wira Ir.Dr.Md.Noor bin Haji Salleh merayu supaya UTM mengwujudkan Unit Pesara yang khusus untuk mengendalikan urusan yang berkaitan dengan pesara. Rayuan ini dibuat oleh beliau semasa berucap di Mesyuarat Agung Ketiga PESUTM pada 8 Februari 2014. Sekali pun penubuhannya telah ditolak sebelum ini oleh pihak Universiti, tetapi beliau merasakan ianya perlu dipertimbangkan semula memandangkan jumlah pesara yang terus bertambah dan unit ini boleh bertindak sebagai ‘one stop centre’ untuk pesara yang ingin memerlukan perkhidmatan daripada Universiti.
PESUTM TERIMA SUMBANGAN RM1105.00 SEMASA MESYUARAT AGUNG KETIGA PESUTM menerusi pungutan derma kilat semasa Mesyuarat Agung Ketiga pada 8 Februari 2014 telah menerima sumbangan sebanyak RM1105.00 daripada ahli-ahli yang hadir. PESUTM mengucapkan terima kasih dan InsyaAllah segala sumbangan yang diterima akan digunakan sebaiknya. Budi baik para penderma hanya Allah s.w.t yang membalasnya. |
UTM HARGAI SUMBANGAN ALLAHYARHAM TAN SRI AINUDDIN WAHID “UTM sebenarnya sangat menghargai sumbangan Allahyarham Y.Bhg.Tan Sri Ainuddin Wahid sebagai mantan Naib Canselor UTM yang pertama yang banyak memberi jasa bukan sahaja kepada UTM bahkan kepada negara ”. Demikian ditegaskan oleh Y. Bhg. Naib Canselor UTM, Y.Bhg. Prof.Ir. Dr.Wahid bin Omar semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung Ketiga PESUTM. Untuk itu UTM telah menamakan dewan di Kampus Antarabangsa UTM Kuala Lumpur sebagai Dewan Tan Sri Ainuddin Wahid. Sebagai meng- hargai sumbangan beliau dalam bidang pendidikan satu Yayasan Tan Sri Ainuddin Wahid telah diwujudkan dengan persetujuan Kerajaan. Tahun ini Yayasan telah memperuntukan biasiswa sebanyak RM350,000.00 bagi membolehkan lima (5) mahasiswa mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah (Phd).
NAIB CANSELOR UTM PENASIHAT/PENAUNG PESUTM Y.Bhg. Prof.Ir.Dr.Wahid bin Omar, Naib Canselor UTM telah menerima pelantikan sebagai Penasihat/Penaung Persatuan Pesara UTM (PESUTM). Persetujuan ini dinyatakan sendiri oleh beliau melalui surat bertarikh 30 Disember 2013. Sebagai Penasihat/Penaung peranan beliau ialah untuk menasihati , memberi tunjuk ajar serta membimbing dan memberi hala tuju yang sepatutnya kepada Persatuan Pesara UTM (PESUTM).
TIGA ORANG AHLI PESUTM KEMBALI KERAHMATULLAH PESUTM kehilangan tiga orang ahli disepanjang Januari-Mac 2014 kerana kembali kerahmatullah. Mereka ialah Allahyarham Prof.Dr.Alias bin Mohd.Yusof(Fakulti Sains) pada 19 Januari 2014, Allahyarham Dr.Abu Bakar bin Hashim(Fakulti Pendidikan) pada 6 Februari 2014 dan Allahyarham Yusab bin Saari(Pentadbiran) pada 20 Februari 2014. PESUTM mengucapkan takziah kepada keluarga masing-masing dan berdoa agar roh mereka dicucuri rahmat dan berada bersama-sama orang yang beriman. Alfatihah. |